18 Oktober 2025 – Kempen Internet Selamat (KIS) merupakan inisiatif kesedaran digital yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan penipuan pembelian dalam talian yang semakin membimbangkan. Program ini menekankan kefahaman terhadap pelbagai bentuk penipuan siber seperti laman web palsu, akaun penjual tidak sah dan taktik penyamaran yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya pengguna.
Melalui kempen ini, peserta didedahkan kepada langkah-langkah pencegahan serta panduan pembelian yang selamat bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. Di samping itu, kempen ini turut menekankan kepentingan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden penipuan. Pelaksanaan program ini diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran dan tanggungjawab pengguna terhadap keselamatan digital serta mendorong masyarakat agar lebih berhati-hati dan bijak ketika berurus niaga di platform dalam talian.


